Penerbangan pertama bantuan kemanusiaan ke Filipina berlepas hari ini

Bernama
November 13, 2013 00:00 MYT
Penerbangan pertama pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa pasukan Malaysia dan bantuan kemanusiaan bagi membantu kerajaan Filipina dan mangsa taufan Haiyan, akan berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 7 pagi, Rabu.
Kementerian Luar dalam kenyataan Selasa berkata pesawat itu dijangka tiba di Tacloban, Filipina pada 2.15 petang (waktu Filipina).
"Penerbangan itu akan disertai oleh pegawai-pegawai daripada Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, Radio Televisyen Malaysia dan Bulan Sabit Merah Malaysia," kata kenyataan itu.
Penerbangan kedua dijangka berlepas 30 minit kemudian dan akan membawa sukarelawan Kelab Putra 1Malaysia, bahan-bahan makanan dan bantuan lain.
Penerbangan ketiga ke Tacloban, Filipina akan dibuat pada 14 Nov dan disertai pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dan membawa bekalan ubat-ubatan, manakala penerbangan keempat dan kelima pada 15 dan 16 Nov akan membawa peralatan hospital medan.
Kerajaan Malaysia menawarkan bantuan kemanusiaan kepada kerajaan Filipina berikutan kemusnahan yang dialami negara itu akibat taufan Haiyan Jumaat lepas yang menyebabkan lebih 10,000 orang dilapor terbunuh.
#Bulan Sabit Merah Malaysia #Filipina #Kelab Putra 1Malaysia #Kementerian Kesihatan #Kementerian Luar #Majlis Keselamatan Negara #Radio Televisyen Malaysia #Tacloban #taufan Haiyan #Tentera Udara Diraja Malaysia #TUDM