Penerbangan terus KL - Moscow dijangka tahun depan

Dalam lawatan ke Rusia baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar mempelawa dan mencadangkan agar syarikat penerbangan Rusia, termasuk Aeroflot memulakan semula laluan penerbangan terus ke Malaysia secepat mungkin. - Gambar fail Reuters
KUALA LUMPUR: Kerajaan Rusia dan Malaysia senakin hampir dalam mencapai persetujuan untuk melancarkan penerbangan terus antara kedua-dua negara.
Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov berkata, persetujuan bagi tujuan itu diharap berpotensi meningkatkan jumlah pelancong Malaysia ke Rusia dan pelancong Rusia datang ke Malaysia.
Beliau berkata, kedua-dua pihak sehingga kini sedang berusaha keras bagi memastikan persetujuan itu dapat segera dicapai sekali gus merealisasikan hasrat menyambung semula penerbangan terus dari Malaysia ke Rusia.
Ditanya jangkaannya, beliau berharap ia boleh dipersetujui pada tahun 2026 di mana ketika itu peluang diambil sempena Tahun Melawat Malaysia.
"Ia bukan sahaja terdapat janji mengenainya, tetapi kita berharap dan saya boleh memberi jaminan bahawa kedutaan berusaha keras ke arah itu dan menyelesaikan isu (penerbangan terus).
"Dan, saya harap ia benar-benar boleh direalisasikan pada tahun 2026, " ujar Latypov semasa ditemui di Majlis Memperingati ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua dan perang anti-fasis dunia di kediamannya di Kedutaan Rusia, di sini, malam tadi.

Naiyl Latypov
Beliau berkata, lebih 100,000 pelancong Rusia direkodkan datang ke Malaysia pada tahun lepas dan diharap semakin meningkat apabila Tahun Melawat Malaysia 2026 dilancarkan.
Rakyat Malaysia juga, katanya, semakin hari semakin ramai melawat pelbagai tempat menarik di Rusia seperti Moscow, St Petersburg dan Kazan selain Volgograd.
"Kita, baik Rusia atau Malaysia berharap usaha untuk menyelesaikan isu penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Moscow, Rusia.
"Ini berupaya menjadikan hubungan ekonomi dan kemanusiaan kedua-dua negara semakin erat dengan lebih ramai datang untuk menghabiskan masa melawat Malaysia dan Rusia seterusnya memperkasa industri pelancongan masing-masing, " ujar beliau.

Rakyat Malaysia juga semakin hari semakin ramai melawat pelbagai tempat menarik di Rusia seperti Moscow, St Petersburg dan Kazan selain Volgograd.
Sebelum ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembukaan kerjasama udara kedua-dua negara bakal menyumbang kepada perkembangan hubungan ekonomi dan kemanusiaan.
Dalam lawatannya ke Rusia baru-baru ini, Anwar juga turut mempelawa dan mencadangkan agar syarikat penerbangan Rusia, termasuk Aeroflot memulakan semula laluan penerbangan terus ke Malaysia secepat mungkin.
Aeroflot, beroperasi selama lebih 100 tahun dan menjadi antara jenama Rusia paling terkemuka, merupakan syarikat penerbangan terbesar Rusia, yang meliputi syarikat penerbangan Rossiya dan Pobeda.
Aeroflot Group ialah peneraju penerbangan komersial Rusia di mana pada 2024, Aeroflot sahaja membawa 30.1 juta penumpang, dan sebanyak 55.3 juta penumpang jika termasuk menerusi syarikat penerbangan Aeroflot Group.
Aeroflot sentiasa mengembangkan rangkaian laluan domestiknya, termasuk penerbangan antara wilayah negara itu tanpa melalui Moscow, membangunkan program pengangkutan berorientasi sosial dan melaksanakan program tambang sama ratanya sendiri bagi penerbangan ke bandar-bandar di Timur Jauh dan Kaliningrad.
Pada masa ini, hanya penerbangan transit sama ada melalui China atau di Asia Barat yang menghubungkan kedua-dua negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


