Peneroka Felda Nenering diminta tidak jual tanah kerana merugikan

Bernama
September 3, 2018 12:58 MYT
Para peneroka di Felda Nenering di sini dingatkan agar tidak menjual tanah hak milik mereka kerana ia hanya merugikan diri sendiri, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu. -Bernama
Para peneroka di Felda Nenering di sini dingatkan agar tidak menjual tanah hak milik mereka kerana ia hanya merugikan diri sendiri, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata tindakan mempertahankan tanah itu perlu kerana para peneroka perlu sedar kesusahan yang mereka alami semasa menjadi peneroka sejak 1989.
"Kita bukan orang senang, menjadi peneroka dulu susah dan memerlukan usaha yang kuat. Alhamdulillah bila telah dapat geran tanah kena jaga, jangan jual dan tukar hak milik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penyerahan hakmilik tanah peneroka Felda Nenering di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 140 peneroka menerima geran hak milik tanah masing-masing membabitkan kawasan seluas 3.95 hektar. Felda Nenering mempunyai keluasan 608.70 hektar.
Sementara itu, Pengarah Pengurusan Felda Erwan Aman dalam ucapannya berkata Felda mempunyai 17 tanah rancangan di Perak dengan keluasan kawasan seluas 28,562.12 hektar membabitkan 5,917 orang peneroka.
Menurutnya daripada jumlah peneroka itu seramai 5,772 peneroka atau 97.55 peratus telah menerima geran hak milik tanah masing-masing.
Tiga lagi rancangan iaitu Felda Gunung Besout 3, Felda Trolak Timur serta Felda Trolak Selatan di Sungkai belum menerima hak milik dan pihaknya akan berusaha mempercepatkan pemberian itu.
Erwan berkata Felda juga sedang membina 202 unit rumah untuk penduduk generasi baru Felda di Felda Gunong Besout serta Felda Lasah di Sungai Siput dan pembinaan telah mencapai 75 hingga 93 peratus.
Sementara itu, seorang peneroka, Sabariah Daud,58, bersyukur kerana penantian 30 tahun untuk mendapatkan geran hak milik tanah kini membuahkan hasil.
"Saya bersyukur dengan penantian selama ini, tapi sedikit sedih kerana suami tidak sempat melihatnya setelah meninggal dunia setahun lepas," katanya yang menyertai Felda Nenering sejak 1989.
Sazali Ahmad, 62, juga melahirkan rasa gembira kerana pemberian geran hak milik tanah itu dinanti-nantikan sejak 30 tahun lepas.
"Saya gembira mendapat geran hakmilik kerana ia membuktikan Felda membantu peneroka di sini," katanya yang berasal dari Parit.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #Felda Nenering #jual #Menteri Besar #peneroka #tanah