NATIONAL
Peneroka RKT KESEDAR bakal terima geran tanah - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid bergambar bersama Ketua Peneroka KESEDAR Renok Baru Shamsuddin Yaakub (empat,kiri) dan Ketua Peneroka KESEDAR Paloh 3 Hassan Salleh (empat,kanan). - Bernama
GUA MUSANG: Penantian lebih 40 tahun peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) untuk memiliki tanah sendiri bakal berakhir apabila mereka dijangka menerima geran bagi lot ladang yang diusahakan tidak lama lagi.
Ringkasan AI
- Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR akan menerima geran tanah setelah menanti lebih 40 tahun.
- Proses pemindahan pemilikan tanah ini pertama kali dilaksanakan oleh KESEDAR, dengan penandatanganan borang pindah milik antara peneroka dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
- Penyerahan geran tanah ini dianggap sebagai pengubah keadaan (game changer) bagi peneroka, memberikan impak besar kepada mereka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pemindahan pemilikan tanah itu kali pertama dilaksanakan KESEDAR selepas isu berkenaan dibangkitkan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tahun lepas.
"Hari ini, saya menyaksikan proses menandatangani borang pindah milik antara peneroka dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penyerahan geran tersebut bakal memberikan impak besar kepada peneroka.
"Hak milik tanah ini adalah satu pengubah keadaan (game changer) bagi para peneroka yang telah menanti lebih 40 tahun," katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa KESEDAR telah membayar premium tanah kepada kerajaan negeri.
"Ia (tanah) telah dipecah lot kepada para peneroka dan geran tersebut akan diserahkan setelah semua Borang 14A disiapkan," katanya.
-- BERNAMA