CAMERON HIGHLANDS: Penerokaan haram dikesan berlaku di kawasan runtuhan tanah di Batu 59, Blue Valley di sini.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman berkata, aktiviti itu aktif lebih setahun lalu membabitkan keluasan 4.31 hektar di kawasan Hutan Simpan Sungai Wi-D bagi tujuan tanaman sayur.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan dan tangkapan telah dikenakan terhadap pengusaha pada April tahun lalu di bawah Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984.

"Tindakan diambil terhadap lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu atas kesalahan melakukan penerokaan kawasan hutan simpan secara tidak sah.

"Apabila berlaku insiden runtuhan ini, kita dapati pencerobohan itu masih berlaku di kawasan sama dan melibatkan pengusaha yang sama," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil semakan dilakukan, pengusaha berkenaan pernah mengemukakan permohonan permit penggunaan hutan bagi tanaman sayur kepada Jabatan Perhutanan negeri, namun tidak diluluskan.

"Permohonan itu ditolak selepas kajian dilakukan mendapati kawasan tersebut mempunyai nilai cerun berisiko dengan kecerunan melebihi 35 darjah," katanya.

Syed Ahmad Khirulanwar berkata, insiden runtuhan tanah yang melibatkan lima pekerja warga Myanmar itu telah mendapat keprihatinan yang tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, kerajaan negeri juga sememangnya memberikan perhatian yang serius untuk memastikan segala gerak kerja mencari dan menyelamat mangsa terlibat dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Dalam isu penerokaan ini, kita akan ambil satu tindakan penguatkuasaan secara bersepadu secara menyeluruh.

"Ini termasuklah mengesan penggunaan pekerja asing tanpa permit atau penggunaan pekerja asing yang tidak sewajarnya untuk diambil bekerja," katanya.

Polis sebelum ini mengesahkan, semua mangsa terlibat merupakan pekerja warga Myanmar dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Law Ha Phey, 36, Ki Shing Om, 48, Shing Law Har, 56, Thang Moung, 25, dan wanita Om Myu, 37.

Tiga daripada mangsa mempunyai pertalian kekeluargaan sebagai suami isteri dan bapa sementara dua lagi merupakan rakan sekerja. - Sinar Harian