MALAYSIA
Penetapan ekonomi global seterusnya harus ditulis dengan ‘dakwat Asia’ - PM Anwar

Anwar seru hubungan saling kebergantungan yang memperkukuh kedaulatan, dengan Asia sebagai enjin pertumbuhan dan pemegang masa depan global. - Foto BERNAMA
TIANJIN: Penetapan semula ekonomi global sebanyak tiga kali pada pertengahan abad ke-20 - seperti Perjanjian Bretton Woods, penubuhan forum ekonomi dan politik G7, serta Hari Liberasi Amerika Syarikat (AS) - sering dinukilkan tanpa pengaruh benua Asia.
Ringkasan AI
- Asia perlu tampil sebagai penentu ekonomi global, bukan sekadar pemerhati seperti dalam penetapan semula ekonomi abad ke-20.
- Perpecahan perdagangan dan teknologi membawa kesan besar, termasuk kehilangan sehingga 12 peratus keluaran negara bagi ekonomi membangun.
- Anwar seru hubungan saling kebergantungan yang memperkukuh kedaulatan, dengan Asia sebagai enjin pertumbuhan dan pemegang masa depan global.
“Mengapa perkara ini penting? Kerana perpecahan membawa kos yang nyata. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan bahawa perpecahan perdagangan yang serius, digabungkan dengan pemisahan teknologi, boleh menyebabkan sesetengah negara kehilangan sehingga 12 peratus daripada keluaran negara mereka.
“Di sebalik statistik ini adalah kehidupan yang semakin pudar, rawatan perubatan yang tertangguh, dan hak yang dinafikan. Negara ekonomi membangun paling terjejas. Selama berdekad-dekad, keterbukaan telah membolehkan mereka mencapai taraf pendapatan yang lebih tinggi dan mengeluarkan ratusan juta penduduk daripada kemiskinan.
“Jika pengetahuan, teknologi dan modal hanya mengalir dalam blok yang terhad seperti sekarang, tangga kepada peluang akan dirobohkan ketika yang lain baru ingin memanjatnya,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Sovereign Interdependence: Building A Shared Future in Asia’ di Universiti Tianjin, China, pada Isnin.
Lawatan beliau selama empat hari bermula Ahad di Tianjin dan Beijing adalah atas jemputan Presiden China, Xi Jinping, dengan kemuncak program ialah kehadiran beliau ke Sidang Kemuncak Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO) serta majlis memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata China sebagai kuasa tamadun mempunyai peranan besar dalam menentukan keterbukaan benua Asia, termasuk kestabilan dan sifat inklusifnya.
“Kita mesti merangka hubungan saling kebergantungan yang memperkukuh kedaulatan, bukannya melemahkannya.
Saling kebergantungan tidak seharusnya membuat negara-negara berasa takut bahawa autonomi mereka akan terhakis. Sebaliknya, ia harus memberi keyakinan bahawa dengan saling berhubung, daya tahan mereka akan berganda.
Asia mempunyai tanggungjawab khas dalam usaha ini. Selama ini, perbincangan mengenai ekonomi dunia sering dilihat dari sudut trans-Atlantik. Namun kini, Asia merupakan enjin pertumbuhan global, menjadi tempat tinggal majoriti belia dunia, dan pusat kepada pelbagai teknologi yang paling dinamik,” tegasnya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Asia kini tidak lagi boleh menjadi sekadar objek kepada strategi pihak lain, tetapi perlu menjadi penulis kepada takdir sendiri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami