MALAYSIA
Penetapan nilai ambang AFA lindungi pengguna daripada kenaikan mendadak bil elektrik - Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebarang penetapan nilai ambang AFA kini tertakluk kepada kelulusan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) - Foto JaPen
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi melindungi pengguna elektrik daripada kesan kenaikan mendadak bil dengan memperkenalkan mekanisme penetapan nilai ambang bagi pelarasan formula kos bahan api (AFA).
Ringkasan AI
- Kerajaan melaksanakan mekanisme AFA menggantikan ICPT dengan pelarasan kos bahan api dilakukan setiap bulan, dan sebarang kenaikan melebihi 10% perlu kelulusan menteri bagi elak impak langsung kepada rakyat.
- Pengguna domestik (1,000 kWj) dan PMKS (200 kWj) layak menerima insentif tenaga, manakala pengguna (600 kWj) dikecualikan caj peruncitan, bagi meringankan beban tarif dan galakkan kecekapan tenaga.
- Kerajaan terus dorong penggunaan tenaga boleh baharu serta sistem cekap tenaga sebagai strategi jangka panjang mengurangkan penggunaan elektrik dan meningkatkan keberkesanan subsidi kepada golongan B40 dan M40.
"Jemaah Menteri pada 11 Jun 2025 juga telah meluluskan pelaksanaan mekanisme AFA bagi menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), di mana pelarasan kos bahan api dibuat setiap bulan berbanding enam bulan.
"Namun begitu, Kementerian kekal prihatin dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga dan tidak terkesan secara terus dengan perubahan bil elektrik secara mendadak sekiranya berlaku ketidakstabilan
harga bahan api di pasaran," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu bagaimanakah struktur baharu bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan keadilan kos, kecekapan penggunaan tenaga dan mengekalkan subsidi tertumpu untuk golongan B40 dan M40.
Bagi mengurangkan impak bil elektrik selain menggalakkan amalan kecekapan tenaga, Fadillah berkata kerajaan memperkenalkan insentif cekap tenaga yang diberikan secara terus kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggunakan elektrik 200 kWj dan ke bawah.
Ujar beliau yang juga Menteri PETRA, inisentif ini bertujuan menggalakkan golongan sasar untuk lebih bijak dalam pengurusan tenaga dan memastikan tiada keperluan bagi PMKS untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan kadar tarif baharu ini.
“Tambahan lagi, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kWj dan ke bawah juga akan dikecualikan daripada pembayaran caj peruncitan.
"Ini merupakan bantuan daripada kerajaan kepada golongan tersebut, bagi memastikan mereka terus dilindungi dan tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual baharu ini,” kata beliau.
Dalam masa sama, Fadilah menjelaskan kerajaan juga menggalakkan pengguna untuk beralih kepada penggunaan sistem cekap tenaga dan tenaga boleh baharu, dalam memastikan kadar penggunaan tenaga negara dapat dikurangkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami