IPOH: Pengaktifan semula Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (PINCER) di Meru Raya dekat sini yang bernilai RM20 juta dijangka dapat menarik minat pelabur industri kreatif luar negara ke Bandar Raya Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pengaktifan studio yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini itu akan menjadikan ia antara hab industri kreatif canggih di negara ini selepas yang berada di Cyberjaya, Selangor dan Johor Bahru.

Katanya, berdasarkan kepada model perniagaan baharu yang akan diperkenalkan, ia dilihat mampu menarik minat penggiat industri kreatif luar seperti dari China, Indonesia dan negara serantau untuk ke negeri Perak.

Tambah Rumaizi, inisiatif berkenaan juga merupakan sebahagian daripada perancangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan bandar menerusi elemen ‘Bandar Kesenian’.

“Saya yakin Studio PINCER ini akan menjadi pusat sehenti seni kepada pengkarya seni di Malaysia mahupun luar negara, kerana industri kreatif yang merangkumi pelbagai elemen seni harus menjadi syarat utama bagi mewujudkan sebuah bandar maju sebagai bandar kesenian.

“Saya juga percaya sekiranya Studio PINCER (siap) dibaik pulih semula dan menambah keperluan seperti kamera dan sebagainya, ia pasti menarik warga penggiat seni dari dalam dan luar negara menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

“Studio PINCER ini dijangka akan memulakan operasi pada pertengahan tahun ini, namun bangunan itu perlu melalui beberapa fasa baik pulih sebelum digunakan.

“Kemudahan di studio itu akan digunakan sebaik mungkin bukan sahaja (dapat) melahirkan seni kreatif, malah mampu menjana ekonomi penggiat seni dan secara tidak langsung untuk Negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Anjuran PINCER MBI Studio Sdn Bhd di Hotel Impiana dekat sini, pada Jumaat.

Pada majlis sama, seramai 31 kakitangan MBI yang kurang berkemampuan turut diraikan dan menerima sumbangan wang tunai RM100 setiap seorang.

Dalam pada itu, Rumaizi memberitahu PINCER MBI Studio Sdn Bhd merupakan syarikat swasta yang ditubuhkan pada 17 Mac lalu bagi menguruskan semula Studio PINCER di Meru Raya yang telah terbiar sejak tahun 2018.

“(Berdasarkan kepada modal perniagaan terbaru), walaupun MBI dan pihak syarikat merupakan dua entiti berbeza namun PINCER MBI Studio Sdn Bhd adalah ejen yang dilantik untuk menguruskan aset MBI itu.

“Melalui kerjasama ini, MBI masih ada suara untuk bercakap dengan pihak syarikat. Kita tidak mahu seperti modal perniagaan sebelum ini yang mana ia dilepaskan begitu sahaja kepada syarikat swasta,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PINCER MBI Studio Sdn Bhd, Kah Fee Yee @ Thong, berkata kerja-kerja membaik pulih studio berkenaan masih berjalan dan dijangka akan siap dalam tempoh sebulan setengah lagi.

Tambah beliau pihaknya juga turut merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat media tempatan dalam usaha mempergiatkan lagi industri seni melalui studio berkenaan.

“Kami merancang untuk menerbitkan lebih banyak filem dan drama tempatan di Studio PINCER. 

“Selain itu, kami juga merancang untuk merancakkan lagi industri animasi dalam negara. Dan untuk itu kami telah berjumpa dengan pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan lawatan tapak akan dilakukan mereka pada Mei depan,” jelas beliau.

Studio PINCER yang terletak di Meru Raya telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di bawah projek Taman Teknologi Tinggi Perak (PHTP) dengan menelan kos sebanyak RM20 juta pada tahun 2011.

Antara fasiliti yang terdapat pada studio berkenaan adalah layar hijau, studio kreatif, perkhidmatan khusus dalam pengeluaran muzik, rakaman suara, rakaman multimedia dan perkhidmatan audio.