MALAYSIA
Pengalaman Malaysia sebagai perantara bawa Thailand, Kemboja ke meja rundingan

AZMI: Leverage aura Malaysia tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak sama ada Thailand atau Kemboja dalam isu ini - kita melihat itu kriteria yang penting. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selain selaku Pengerusi ASEAN, pengalaman Malaysia sebagai negara perantara kepada konflik geopolitik di Asia Tenggara dilihat menjadi faktor kepada persetujuan Thailand dan Kemboja untuk menghadiri mesyuarat khas berhubung konflik di sempadan kedua-dua negara itu.
Pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan berkata, sebelum ini Malaysia pernah menjadi negara perantara kepada konflik di rantau ini termasuk di Aceh, selatan Thailand dan selatan Filipina.
Beliau berkata, pihak atau negara serantau yang berhadapan dengan konflik berkenaan memberi kepercayaan kepada Malaysia sebagai negara perantara kerana yakin dan percaya dengan pendekatan Malaysia yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.
"Itu yang dikatakan 'leverage aura' Malaysia tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak sama ada Thailand atau Kemboja dalam isu ini. Jadi, kita melihat itu kriteria yang penting," katanya ketika ditemu bual Bernama TV dalam rancangan Buletin Bernama, semalam.Beliau berkata, mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini turut mencatat sejarah tersendiri kerana buat kali pertama Pengerusi ASEAN terlibat secara langsung dalam mencari penyelesaian konflik Thailand-Kemboja yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Azmi berkata langkah Perdana Penteri menjemput dua kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat dan China turut serta dalam mesyuarat khas itu juga dilihat sebagai strategi yang bijak dalam menggalakkan Thailand dan Kemboja untuk tampil ke meja rundingan.
"Malaysia tahu kuasa besar ini, Amerika Syarikat dan juga China, punya pengaruh yang besar ke atas pemerintah kedua-dua negara ini. Jadi, ini yang dikatakan perspektif strategi Pengerusi ASEAN tidak mahu mengetepikan kuasa besar.
"Adakalanya kuasa besar itu diperlukan dan adakala kuasa besar berkenaan ditegah campur tangan hal dalaman ASEAN tetapi dalam hal kali ini, kuasa besar itu dikatakan amat perlu," katanya.
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata secara serta-merta serta tanpa syarat susulan ketegangan yang memuncak antara kedua-dua negara di sepanjang sempadan yang dipertikai dalam satu pertemuan khas di Putrajaya, yang dipengerusikan oleh Anwar semalam.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menzahirkan komitmen mereka bagi meredakan ketegangan itu apabila bersetuju melaksanakan gencatan senjata itu secara serta-merta selain memulihkan keadaan untuk kembali seperti biasa bermula 12 malam ini.
Konflik antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei lepas susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara di Preah Vihear yang meragut nyawa seorang anggota tentera Kemboja.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami