MALAYSIA

Pengalaman terserempak buaya tidak patahkan semangat buru ikan asing

Bernama 20/10/2025 | 03:20 MYT
Haziman Amli diumum juara keseluruhan Grand Prix Memburu Ikan Asing Perak 2025 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000. - Gambar Bernama
KUALA KANGSAR: Pengalaman terserempak buaya ketika memburu ikan pendatang di Sungai Klang, Selangor menjadi antara detik paling mencemaskan bagi seorang lelaki yang telah tiga tahun menumpukan usaha membanteras spesies invasif seperti ikan bandaraya.

Haziman Amli Hasan, 41, berkata, detik berdepan haiwan liar itu menjadi peringatan bahawa aktiviti memburu ikan asing bukan tugas mudah serta perlu peka terhadap keselamatan diri.

"Pada ketika itu, saya ditemani lima rakan lain sedang menjala (ikan bandaraya) di tebing dan tiba-tiba saya ternampak kelibat buaya muncul pada jarak kira-kira tiga meter.

"Mujurlah buaya itu tidak menyerang. Saya beritahu rakan-rakan supaya beredar dan mencari lokasi lain," katanya yang juga bekas pegawai tentera kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Penutup Fiesta Ikan Perak 2025 di Dataran Victoria baru-baru ini.

Terdahulu, Haziman Amli diumum juara keseluruhan Grand Prix Memburu Ikan Asing Perak 2025, seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Beliau yang juga Setiausaha Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) Malaysia berkata, selain haiwan liar, mereka turut berdepan risiko kepala air, arus deras dan jala tersangkut pada batu, terutama ketika meneroka kawasan sungai yang belum pernah dijejaki.

"Kalau sungai di sekitar Selangor atau Kuala Lumpur, kami dah boleh baca arusnya tetapi di Sungai Kinta, Ipoh umpamanya, kami pernah hampir terperangkap dalam kejadian kepala air sewaktu aktiviti memburu ikan asing. Nasib kami baik kami sempat naik ke tebing untuk menyelamatkan diri," katanya.

Meskipun melalui pelbagai cabaran, bapa kepada tiga cahaya mata berasal dari Kelantan itu mengakui puas melakukan aktiviti berkenaan lebih-lebih lagi dengan kejayaan menghapuskan lebih 57 tan metrik ikan asing yang mendiami beberapa batang sungai di negara ini sejak 2022.

Haziman Amli berkata, daripada jumlah itu, hampir 80 peratus spesies ditangkap merupakan ikan bandaraya yang dikenali dengan nama saintifik Hypostomus plecostomus.

"Bagi saya, kaedah menjala lebih efektif digunakan berbanding jaring kerana spesies seperti ikan bandaraya bergerak secara berkumpulan dan boleh dinaikkan dalam jumlah puluhan ekor sekali tebar," katanya.

Mengulas kesedaran masyarakat terhadap kerosakan yang dibawa spesies ikan asing, beliau berkata pada awalnya banyak pihak memandang remeh usaha SPIA kerana menyangka ia membuang masa dan tenaga.

Bagaimanapun, Haziman Amli berkata, selepas beberapa siri dokumentasi dan video dimuat naik ke media sosial, orang ramai mula memahami bahawa ikan invasif mengganggu dasar sungai, merosakkan telur ikan tempatan dan membiak jauh lebih pantas berbanding spesies asli di negara ini.

"Sekarang kalau kita turun memburu, ramai yang datang bertanya dan ada yang mula hantar laporan penemuan ikan asing di sungai-sungai kecil. Itu perkembangan positif," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali Abdul Manap berkata, hampir 10 tan metrik ikan asing berjaya didaratkan sepanjang penganjuran tiga siri Grand Prix Memburu Ikan Asing Perak 2025.

Beliau berkata, antara ikan yang berjaya ditangkap adalah spesies ikan bandaraya, baung ekor merah dan patin Chao Phraya.

"Bukan hanya peserta tempatan, malah dari Kuala Lumpur dan Selangor turut serta dalam pertandingan yang kita anjurkan sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini iaitu di Ipoh, Kampung Gajah dan Kuala Kangsar.

"Walaupun ikan asing masih ada, namun ini merupakan satu usaha baik dalam memastikan sasaran sifar ikan asing dalam tempoh lima tahun akan datang berjaya direalisasikan," katanya.

-- BERNAMA




#terserempak buaya #buru ikan pendatang #spesies invasif #ikan bandaraya