KUALA LUMPUR: Kumpulan pengamal perubatan menyambut baik Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang dibentangkan semalam, melihatkan ada beberapa inisiatif yang bagus diperkenalkan di bawah sektor kesihatan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Datuk Dr Kuljit Singh berkata RM41.2 bilion yang diperuntukkan buat Kementerian Kesihatan, antara kementerian yang menerima pertambahan peruntukan terbesar dalam belanjawan itu, adalah angka yang cukup meyakinkan, menunjukkan kerajaan pandang serius peningkatan kos sektor tersebut.

"Kami daripada hospital swasta, berasa sukacita untuk membantu kerajaan dalam penyumberluaran belanjawan daripada sektor awam kepada swasta, namun hal ini perlu dipercepat memandangkan ramai pesakit sedang menunggu untuk dirawat.

"Metodologi harus lancar agar pesakit di hospital kerajaan dapat dirawat di kemudahan swasta secepat mungkin apabila sistem penjagaan kesihatan awam sudah melebihi kapasitinya.

"Belanjawan itu perlu membantu pesakit pada kadar segera dan tidak menunggu pembinaan kemudahan baharu yang merupakan penyelesaian jangka panjang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Kuljit berkata perkongsian sumber antara hospital kerajaan dan swasta adalah jalan yang tepat, dan beliau berharap fasiliti penjagaan kesihatan swasta dibenarkan beroperasi tanpa kekangan kos bagi mewujudkan kelestarian, memandangkan pesakit akan mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta susulan peningkatan peruntukan belanjawan.

Kerajaan memperuntukkan RM41.2 bilion untuk Kementerian Kesihatan bagi Belanjawan 2024, berbanding RM36.3 bilion tahun sebelumnya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Azizan Abdul Aziz pula berkata persatuan itu gembira Skim Perubatan MADANI akan diperluas, dan berharap skim akan turut meliputi pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang dapat menggalakkan penyertaan lebih ramai pengamal perubatan am (GP) swasta, seterusnya mengurangkan kesesakan di kemudahan kesihatan awam.

"Penglibatan 13,000 GP swasta juga boleh menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan di bawah inisiatif seperti Skim Perubatan MADANI," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Prof Dr Jamalluddin Ab Rahman ketika dihubungi, menyifatkan Belanjawan 2024 yang bertemakan "Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat" adalah baik dalam memastikan tahap kesihatan rakyat terpelihara termasuk pembinaan hospital baharu.

Bagaimanapun, kata beliau, dalam keadaan kos semakin meningkat sekarang, adalah lebih baik sekiranya kerajaan memperkenalkan pengecualian cukai untuk kad perubatan bagi membantu golongan pertengahan.

Senada dengan Dr Jamalluddin, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata penambahan insurans sosial seperti Skim Kesihatan MADANI dan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah baik namun perlu diperluaskan kepada golongan M40.

Menurut Pakar Kesihatan Komuniti dan Ekonomi Kesihatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia itu, kerajaan perlu memberi penekanan kepada sistem insurans sosial di masa depan agar golongan miskin dan sederhana mempunyai insurans yang sesuai.

"Buat masa ini fokus hanya untuk golongan B40 sedia ada, malangnya jumlah populasi yang memasuki kemiskinan semakin meningkat akibat kos makanan dan perubatan yang semakin tinggi," katanya.

Sementara itu, pakar pergigian swasta Dr Syed Mohamad Ridhwan menyifatkan Belanjawan 2024 bertepatan dengan inisiatif kerajaan dalam memastikan kemudahan perkhidmatan rawatan di hospital dan klinik dapat menampung keperluan rakyat.

-- BERNAMA