Usaha Sarawak Energy Bhd (Sarawak Energy) membabitkan pembelian saham Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB) kini selesai menerusi pemeteraian butiran dalam Perjanjian Jualan Saham (SSA), pada Rabu.

Berikutan itu, Sarawak Energy akan mengambil alih SHSB yang juga pemilik dan pengendali Loji Hidro Elektrik (HEP) Bakun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili dalam satu kenyataan media semalam berkata Sarawak Energy kini memiliki HEP Bakun 2,400MW yang juga loji janakuasa hidro terbesar negara ini.

"Ini membolehkan kami memperkukuhkan usaha penjanaan tenaga dan mempunyai pemilikan penuh dan operasi semua kemudahaan penjanaan tenaga utama di Sarawak," katanya.

Menurut Sharbini, pihaknya juga amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak yang terus memberi kepercayaan kepada Sarawak Energy untuk melaksanakan strategi bagi memajukan serta meningkatkan sumber tenaga Sarawak.

SSA bagi pengambilalihan HEP Bakun bernilai RM2.5 bilion itu dimuktamadkan di pejabat Sarawak Hidro di Selangor hari ini dengan kehadiran semua wakil pihak terbabit.

Susulan pemuktamadan SSA berkenaan, SEB Power Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh Sarawak Energy, menguasai 100 peratus kepentingan saham dalam SHSB daripada Kementerian Kewangan (MoF) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

MoF akan mengekalkan Surat Persetujuan dan jaminan kerajaan terhadap hutang SHSB sedia ada.

Pengambilalihan itu dibiayai menerusi gabungan dana yang dikumpul secara dalaman serta pembiayaan SUKUK.

Sarawak Energy adalah syarikat pembangunan tenaga dan utiliti tenaga milik kerajaan negeri dan mempunyai lebih 4,600 pekerja warga Sarawak.

Matlamat Sarawak Energy adalah untuk mencapai pertumbuhan mampan dan kesejahteraan Sarawak dengan memenuhi keperluan tenaga boleh diperbaharui dan boleh diharapkan di rantau tersebut.

-- BERNAMA