KUALA LUMPUR: Malaysia masih belum membuat keputusan mengenai status pengambilan pekerja asing dari negara Bangladesh ketika ini walaupun perbincangan kedua-dua negara telah berlangsung selama hampir setahun.

Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan, permintaan daripada negara Bangladesh yang mahukan sehingga 2,000 agensi daripada negara itu bagi menguruskan penghantaran pekerja mereka ke negara ini adalah terlalu tinggi menyebabkan berlaku kelewatan dalam membuat keputusan.

“Sebelum ini saya lihat ada 10 syarikat (Malaysia) yang boleh membawa masuk pekerja asing daripada Bangladesh yang saya percaya saya perlu memperluaskan (menambah jumlah) lebih daripada 10.

“Permintaan daripada Bangladesh 2,000 agensi, saya tidak setuju dari segi dasar sebab untuk menghantar pekerja asing (Bangladesh) ke Malaysia mungkin Malaysia akan menjadi pusat lambakan yang kita tak dapat memantau,” katanya kepada media selepas melancarkan Pelan Tindakan Nasional berhubung buruh paksa (NAPFL) 2021 – 2025 di ibu negara petang tadi.

[TERKINI] Sidang media Menteri Sumber Manusia


Draf permintaan kerajaan Bangladesh itu katanya akan dibawa ke peringkat Kabinet dalam masa dua minggu lagi selepas kedua-dua negara akhirnya mencapai persetujuan dari segi dasar .

Sementara itu beliau mengakui ketika ini Malaysia berdepan dengan masalah besar dan kritikal iaitu isu kekurangan pekerja membabitkan lima sektor penting.

Kesemua sektor tersebut adalah sektor yang dikategorikan 3D iaitu (dirty, dangerous, difficult) yang tidak mendapat sambutan daripada warga tempatan.

Ia meliputi sektor perladangan, pembuatan, pembangunan, pertanian dan perkhidmatan yang memerlukan pengisian segera.

Sektor lain yang turut dikenal pasti memerlukan tenaga segera ketika ini katanya adalah termasuk sektor perhotelan.