Pengampunan Najib: Saya bukan sumber media antarabangsa itu - Fahmi

Madiha Abdullah
Januari 31, 2024 12:18 MYT
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengakui perkara berhubung pengampunan diraja bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ada dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu, tetapi menegaskan kenyataan rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi oleh Lembaga Pengampunan.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan, Fahmi memaklumkan beliau bukan sumber yang dipetik dalam laporan sebuah portal media antarabangsa yang mendakwa hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib akan dikurangkan.
Jelas Fahmi, beliau secara kebetulan bertemu dengan wartawan portal berita tersebut sebelum berita itu disiarkan.
"Kita tunggu kenyataan media. Jadi saya minta pengamal media, di dalam dan luar negara, untuk menunggu kenyataan rasmi. Malangnya, saya (ada) berjumpa dengan wartawan dari portal tersebut (tetapi) saya bukan sumber yang kononnya menyampaikan maklumat itu.
"Saya minta bantuan daripada rakan-rakan media semua, let's not jump the gun. Kita tunggu kenyataan rasmi dibuat dan ikut proses sewajarnya.
“Jika tidak, ia akan menimbulkan pelbagai reaksi dan bagi saya, kita perlu menunjukkan profesionalisme dalam melaporkan berita,” tambah Fahmi.
Fahmi juga tidak memberikan jangkaan bila kenyataan rasmi tersebut akan dikeluarkan.
Ketika ditanya jika keputusan muktamad sudah diambil dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Isnin lalu, Fahmi tidak memberikan jawapan pasti, sebaliknya berkata ia harus dimaklumkan sendiri oleh Lembaga Pengampunan.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada Selasa berkata Lembaga Pengampunan akan mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan diraja.
#Fahmi Fadzil #Najib Razak #pengampunan #kabinet