KUALA LUMPUR: Mesyuarat Lembaga Pengampunan telah berlangsung di Istana Negara pada Isnin, namun semua pihak disaran untuk menunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Dr Zaliha Mustafa.

Namun, Ahli Parlimen Sekijang itu enggan mendedahkan usul atau keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat tersebut, khususnya mengenai pembebasan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tunggu kenyataan rasmi Lembaga (Pengampunan),” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri majlis di ibu kota, pada Selasa.

Mesyuarat itu merupakan yang terakhir dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Al-Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, sebelum mengakhiri takhta Baginda sebagai Ketua Utama Negara pada 30 Januari, 2024.

Difahamkan usul mengenai pembebasan Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun bermula 23 Ogos, 2022, turut dimasukkan dalam agenda mesyuarat tersebut.

Beberapa portal berita tempatan yang menerbitkan laporan tersebut pada petang Selasa, telah menarik balik artikel berhubung pembebasan dengan melampirkan permohonan maaf kepada pembaca.