TELUK INTAN: Seorang penganggur yang mempunyai 16 rekod lampau pelbagai jenayah termasuk kes dadah ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis heroin, di Chenderong Balai dekat sini petang Rabu.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Dato’ Haji Yusof Maidin di sini kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata hasil pemeriksaan ke atas suspek ditemukan empat plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 27.75 gram dalam beg sandang suspek.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak dan anggota Balai Polis Labu Kubong telah menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Jalan Dato’ Haji Yusof Maidin, Chenderong Balai.

“Tangkapan ini dibuat ekoran telah tular aktiviti menghisap dadah oleh seorang lelaki dalam video pendek dalam laman Facebook 'I Love Teluk Intan’ pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain anggaran nilai rampasan dadah mangsa adalah RM832.50.

Tambahnya, hasil siasatan awal juga mendapati lelaki berkenaan mengakui dadah yang dijumpai bersamanya adalah miliknya.

“Suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki dengan nama panggilan 'Apoi’ di kawasan Pekan Langkap.

“Usaha mengesan pengedar yang dikenali sebagai 'Apoi’ sedang giat dilakukan oleh pihak polis ketika ini,” jelas beliau. 

Ujarnya siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 39(B) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu tular di laman Facebook video berdurasi 18 saat yang dipercayai dimuat naik dengan memaparkan seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Lan’ sedang melakukan aktivit penyalahgunaan dadah.

Pada kapsyen di video yang dikongsikan mendakwa lelaki berkenaan merupakan seorang tokan dadah di Chenderong Balai dengan menjualnya kepada kanak-kanak di bawah umur.