Penganggur buat pusingan U lari SJR, positif dadah

Aida Aziz
Jun 30, 2022 04:40 MYT
Terdapat 11 peket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dijumpai dalam ruangan berzip beg sandang tersebut. - Foto PDRM
SUNGKAI: Akibat berada di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta nekad membuat pusingan U dan melalui jalan sehala berdekatan jalan besar Felda Gunung Besout di sini.
Tindakan melulu itu dibuat bagi mengelak daripada ditahan polis semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Taman Bukit Slim pada jam 11.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Viva itu enggan memberhentikan kenderaan dan memandu secara berbahaya walaupun sudah diberikan amaran oleh pihak polis yang mengekorinya.
"Pihak polis telah mengekori suspek menggunakan kenderan pasukan dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kanan Polis.
"Setelah itu polis mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan sebanyak tiga kali tetapi suspek enggan berhenti dan menghimpit kenderaan yang dinaiki oleh polis.
"Apabila berada di persimpangan lampu isyarat MRSM Trolak, suspek telah membelok kenderaan menghala ke Besout.
"Semasa mengekori kenderaan suspek, secara tiba tiba suspek bertindak membuat pusingan U dan telah melanggar bahagian hadapan kenderaan yang dinaiki polis," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, polis kemudian berjaya menahan suspek serta menjalankan pemeriksaan fizikal.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek memakai satu beg sandang warna hitam yang disilang di badannya.
"Terdapat 11 peket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dijumpai dalam ruangan berzip beg sandang tersebut.
"Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek seorang penganggur dan semakan lanjut mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah," katanya lagi.
Mohd Hasni berkata polis telah merampas barang kes dengan nilai pasaran keseluruhan dadah berjumlah RM1,800.
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
#Dadah #pusingan u #methamphetamine #beg sandang