Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Penganggur didakwa atas tiga pertuduhan samun, rompak, miliki senjata

Bernama 17/11/2025 | 15:00 MYT
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan samun dan rompakan, masing-masing terhadap dua mangsa berasingan termasuk menyebabkan seorang daripadanya cedera. - Foto hiasan
KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan samun dan rompakan, masing-masing terhadap dua mangsa berasingan termasuk menyebabkan seorang daripadanya cedera.

Ramizu Che Amat, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Choo Choi San, 51, di belakang sebuah kedai motosikal di Jalan Sultanah Zainab, di sini pada 7 pagi, 24 Jun tahun lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Ramizu juga didakwa merompak seutas rantai emas milik seorang warga emas Asmah Deraman, 70, di Kedai Gunong, Bachok pada 7.05 pagi, 21 Sept lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli memohon agar mahkamah tidak menawarkan jaminan, memandangkan pertuduhan yang dihadapi adalah serius, manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.

Hakim Nik Habri Muhamad menetapkan 10 Dis depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen lain, Ramizu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya berjadual, iaitu sebilah kerambit berhulu dan bersarung kayu sepanjang 16 sentimeter tanpa kebenaran sah di Taman Sri Baung, di sini pada 2 petang, 14 Okt.

Pertuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad memohon supaya tiada jaminan diberikan, manakala lelaki itu juga tidak diwakili peguam.

Hakim Zulkifli Abllah menetapkan 17 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk lantikan peguam. Ramizu tidak dibenarkan jamin bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

-- BERNAMA


#penganggur didakwa #pertuduhan samun dan rompak #Ramizu Che Amat #Mahkamah Sesyen