MALAYSIA
Penganggur didakwa bunuh 3 ahli keluarga

Azman dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu bapa dan anak saudaranya di Kampung Paya Redan, Pagoh pada Ogos tahun lalu. - Foto Sinar Harian
MUAR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu, bapa dan anak saudaranya di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini pada Ogos tahun lalu.
Ringkasan AI
- Azman Mohamed Nor, 49 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas tuduhan membunuh ibu bapa dan anak saudaranya dalam kejadian kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh, pada 9 Ogos tahun lalu.
- Mangsa maut termasuk sepasang warga emas dan cucu perempuan mereka berusia 11 tahun; siasatan awal diklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum ditukar kepada kes jenayah selepas penemuan unsur mencurigakan.
- Tertuduh hadir ke mahkamah berkerusi roda, mengaku tidak bersalah dan kini sedang menjalani hukuman penjara atas kes mencederakan seorang lagi anak saudara; tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 27 Ogos.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 1 hingga 3 pagi di sebuah rumah di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh pada 9 Ogos tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan tiga izin kepada mahkamah bagi setiap mangsa dalam kes pembunuhan tersebut.
Nur Aqiilah turut memohon kepada mahkamah agar menetapkan satu tarikh baharu bagi pengurusan kes memandangkan beberapa dokumen termasuk gambar tempat kejadian masih belum lengkap sepenuhnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam bagi tertuduh.
Difahamkan, Azman kini sedang menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun dan denda RM5,000 atas pertuduhan mencederakan seorang lagi anak saudaranya.
Dalam kejadian awal pagi 9 Ogos tahun lalu, sepasang suami isteri warga emas serta cucu perempuan mereka berusia 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus terbakar.
Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucu mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Insiden tersebut turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.
Polis yang pada awalnya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut kemudian menukar siasatan kepada mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh ketiga-tiga mangsa yang maut.
Tertuduh, yang merupakan anak sulung kepada pasangan warga emas tersebut dan melarikan diri semasa kejadian sebelum ditahan lima hari kemudian di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami