MALAYSIA

Penganggur didakwa bunuh rakan serumah kerana bilik bersepah

Sinar Harian 03/07/2025 | 09:30 MYT
Faisal (kanan) yang memakai baju T berwarna putih, didakwa atas satu pertuduhan membunuh rakan serumahnya, minggu lalu. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang penganggur yang berhijrah dari kampung ke Sungai Buloh untuk mencari pekerjaan, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan membunuh rakan serumahnya, dipercayai gara-gara bilik bersepah, minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang penganggur, Faisal Abdul Aziz, 41, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan membunuh rakan serumahnya, Muhammad Fakhrullah Pauzihal Ali, 33, pada 25 Jun di Sungai Buloh, dipercayai berpunca daripada pertengkaran mengenai bilik bersepah.
  • Kes didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 3040 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum gantung. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
  • Mahkamah menetapkan 1 Oktober untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan patologi; tertuduh tidak diwakili peguam dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aliaanisa Khairus Masnan.


Faisal Abdul Aziz, 41, yang memakai baju T berwarna putih, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamed Redza Azhar Reza.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Muhammad Fakhrullah Pauzihal Ali, 33, di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah Sungai Pelong, Sungai Buloh pada jam 11.26 malam, 25 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya tidak dihukum gantung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliaanisa Khairus Masnan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan laporan kimia dan patologi.

Pada 27 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, pertengkaran kerana bilik bersepah dipercayai punca pergaduhan dua sekawan hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut ditikam dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong di sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kedua-dua lelaki itu tiba bersama dari Kelantan, sebelum kejadian terbabit berlaku. -- Sinar Harian



#penganggur dituduh membunuh #rakan sebilik #bilik bersepah #Faisal Abdul Aziz