NATIONAL

Penganggur didakwa edar lebih 20 kilogram syabu

Bernama 02/05/2025 | 07:00 MYT
Penganggur Muhammad Nur Hazreq Kairuddin, 36, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana mengedar lebih 20 kilogram dadah jenis syabu. - Foto Bernama
BATU PAHAT: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram dadah jenis syabu, bulan lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang penganggur didakwa atas pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram dadah jenis syabu.
  • Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika tidak dihukum mati.
  • Kes berkaitan penahanan seorang lelaki di jeti dan penemuan 20 bungkusan disyaki syabu bernilai lebih RM662,000, dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.


Pertuduhan terhadap Muhammad Nur Hazreq Kairuddin, 36, dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nur Hazreq didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 20,712 gram pada 7 malam, 21 April di jeti berhampiran tiang lampu lorong 3, 1/7, Minyak Beku di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan sebutan semula pada 30 Jun untuk serahan laporan kimia.

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata seorang lelaki ditahan di sebuah jeti di sini, susulan penemuan 20 bungkusan disyaki syabu bernilai lebih RM662,000 di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda, dipercayai hendak diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut.

-- BERNAMA




#edar dadah #penganggur didakwa #Muhammad Nur Hazreq Kairuddin #Dadah