MALAYSIA

Penganggur didenda RM1,400 halang tugas anggota polis ketika PKPB

Bernama 06/06/2025 | 08:45 MYT
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Faisal Suhaimi, 34, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghalang tugas anggota polis ketika ditahan semasa pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), lima tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Seorang penganggur, Mohamad Faisal Suhaimi, didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menghalang tugas polis semasa pemeriksaan PKPB pada 1 Jun 2020.
  • Kesalahan berlaku di Jalan Genting Klang, Wangsa Maju, apabila tertuduh cuba melarikan diri dan bergelut dengan anggota polis sebelum ditahan.
  • Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara sebulan; pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Faisal Suhaimi, 34, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Mohamad Faisal didakwa dengan sengaja menghalang Sarjan Muhammad Shahreen Rusli, 28, daripada menjalankan tugasnya di Jalan Genting Klang, Wangsa Maju, di sini pada 4.45 petang, 1 Jun 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, semasa pengadu bersama rakan setugas membuat pemantauan PKPB di kawasan berkenaan pada hari kejadian, pengadu menahan tertuduh dan rakannya kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Tertuduh dan rakannya kemudian melarikan diri dengan motosikal, namun tertuduh berjaya ditahan selepas bergelut dengan pengadu dan rakan setugasnya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa manakala Mohamad Faisal tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
#PKPB #halang tugas penjawat awam #hukuman denda #COVID-19