MALAYSIA

Penganggur dipenjara empat tahun libas anak perempuan 9 tahun guna parang

Bernama 29/10/2025 | 08:00 MYT
Vejesh didakwa dengan sengaja mencederakan anak kandungnya di sebuah unit pangsapuri di Setapak pada 22 Okt lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melibas anak perempuannya berusia sembilan tahun dengan sebilah parang hingga menyebabkan kecederaan pada kaki kiri mangsa.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap K Vejesh, 49, selepas beliau mengaku bersalah melibas anak perempuannya berusia sembilan tahun dengan parang sehingga menyebabkan kecederaan pada kaki kiri mangsa.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum jika sabit kesalahan terhadap ahli keluarga.
  • Timbalan Pendakwa Raya memohon hukuman berbentuk pengajaran memandangkan mangsa merupakan anak kandung tertuduh, manakala Vejesh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan sebelum mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 22 Oktober lalu.


Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu terhadap K Vejesh, 49, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah pada tarikh jatuh hukum hari ini dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 22 Okt lepas.

Vejesh didakwa dengan sengaja mencederakan anak kandungnya di sebuah unit pangsapuri di Setapak di sini pada 1.30 pagi, 22 Okt lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, manakala Seksyen 326A pula berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, polis menerima laporan tertuduh telah melibas sebilah parang hingga terkena anaknya, sebelum mangsa dirujuk ke sebuah hospital dengan doktor mengesahkan terdapat kesan luka empat hingga lima sentimeter pada kaki kiri kanak-kanak itu.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan memohon hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira mangsa dalam kes itu merupakan anak kandungnya, manakala Vejesh tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

-- BERNAMA

#libas anak guna parang #bapa kandung libas anak #hukuman penjara #Setapak