KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur ditahan selepas disyaki membakar al-Quran dan sejadah dalam kejadian  di Batu Rakit, Kuala Nerus dekat sini, hari ini.

Suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan berhampiran Pasar Maras kira-kira jam 10.50 pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu  Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail, berkata penahanan itu susulan laporan yang dibuat seorang peniaga.

"Sebelum itu pengadu yang berada di rumahnya menerima panggilan telefon memaklumkan perbuatan suspek  membakar al-Quran dan sejadah di tepi sebuah pusat hemodialisis di Batu Rakit.

"Ketika tiba di tempat kejadian, peniaga berkenaan mengesan suspek sedang membakar bahan berkenaan.

"Pengadu mengesyaki al-Quran dan sejadah itu diambil dari masjid berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298/427 Kanun Keseksaan.