MALAYSIA

Penganggur ditahan pukul pemandu e-hailing guna pengunci stereng di Johor Bahru

Bernama 28/12/2025 | 05:15 MYT
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap cara pemanduan. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang pemandu e-hailing cedera di muka selepas dipukul menggunakan alat pengunci stereng dalam kejadian berdekatan simpang keluar sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam di sini petang semalam.


Ringkasan AI
  • Seorang pemandu e-hailing cedera di muka selepas dipukul menggunakan alat pengunci stereng berhampiran stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru.
  • Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap cara pemanduan, menyebabkan suspek membrek secara mengejut dan kemudian memukul mangsa.
  • Polis menahan suspek berusia 35 tahun untuk siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, dengan permohonan reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Johor Bahru.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kejadian pada 2.21 petang itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap cara pemanduan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang berusia 38 tahun dipercayai keluar dari stesen minyak secara melulu hingga menyebabkan suspek yang memandu di laluan sama terpaksa membrek secara mengejut.

"Suspek lelaki yang tidak berpuas hati kemudian keluar daripada kenderaannya sebelum bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat serangan itu mangsa mengalami kecederaan di muka dan mendapatkan rawatan lanjut sebelum lelaki tersebut bertindak membuat laporan polis semalam.

Bertindak atas maklumat, Raub berkata polis menahan suspek seorang penganggur berusia 35 tahun bagi membantu siasatan, selain merampas alat pengunci stereng yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek negatif dadah dan semakan juga mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi tujuh saat memaparkan seorang individu mengambil alat pengunci kereta daripada bahagian bonet dan memukul kereta dipercayai milik mangsa.

--BERNAMA




#pemandu #e-hailing #pengunci stereng #pukul #Johor Bahru