[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Penganggur kelar isteri di Bukit Gambir didakwa di mahkamah

Bernama 10/06/2025 | 03:30 MYT
Mohamad Khairul Azmi Ithnin didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Gambir, awal Jun lepas. - Gambar Bernama
TANGKAK: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Gambir, dekat sini, awal Jun lepas.

Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh Iecah Junus, 34, di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang pada 2 Jun lepas.

Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian memohon agar tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh kerana kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Amirah turut membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi menjalankan pemeriksaan.

Majistret kemudiannya membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 8 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mengemukakan laporan patologi, toksiologi dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib dalam kenyataan pagi ini memaklumkan, tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, membakar sembilan kenderaan di pekarangan rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Kampung Durian Chondong, dekat sini, pada 3 Jun lepas.

Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Jun lepas.

-- BERNAMA



#kelar isteri #penganggur didakwa #Mahkamah Majistret Tangkak #bunuh isteri #Iecah Junus