Padah menyamar sebagai pelatih perubatan, seorang penganggur dicekup ketika menjalankan latihan perubatan di Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata insiden itu disedari seorang doktor selepas curiga dengan suspek yang berusia 27 tahun.

Katanya suspek yang berasal dari Kemaman itu memaklumkan dia merupakan pelajar dari sebuah universiti dari ibu negara.

"Bagaimanapun ketika menjalankan latihan perubatan, suspek gagal menjawab beberapa soalan mudah berkaitan bidang tersebut dan semasa penyamaran dilakukan suspek turut mengikuti doktor membuat penyamaran ke atas pesakit," katanya.

Beliau berkata doktor berkenaan telah membuat semakan di bahagian pentadbiran dan mendapati suspek yang juga penganggur itu menyamar sebagai pelatih perubatan.

Jelasnya, suspek telah ditahan pada kira-kira jam 4 petang Isnin oleh pihak pengurusan hospital.

Suspek kini direman sehingga 4 Oktober bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan menyamar.