KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan bersubahat dalam kejadian rogol bergilir-gilir adik iparnya di sebuah rumah, minggu lalu.

Lelaki berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan rakan-rakan sejenayah yang masih bebas, dengan cara memudahkan perbuatan rogol berkumpulan terhadap seorang wanita berusia 26 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di unit pangsapuri di Wangsa Maju di sini antara jam 2 pagi hingga 3.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan dibaca bersama 375B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana suspek dalam kejadian berkenaan, belum ditangkap.

"Jika mahkamah memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan bimbang usaha untuk mengesan suspek yang terlibat akan tergendala.

“Tertuduh merupakan ahli keluarga mangsa (adik ipar) dan mereka tinggal bersama," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dibenarkan ikat jamin kerana dia perlu menanggung seorang isteri dan empat anak.

Selepas mendengar permohonan semua pihak, Izralizam tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki yang diburu bagi membantu siasatan kes rogol adik ipar secara bergilir-gilir, akhirnya diberkas polis di Wangsa Maju pada jam 11.30 malam, Sabtu minggu lalu.

Menurut pihak polis, berdasarkan siasatan awal, seorang lelaki dipercayai sanggup 'menjual' maruah adik iparnya kepada suspek kejadian rogol itu, kerana mahu melunaskan hutang.

Polis berkata, ketika kejadian, suspek telah menghubungi mangsa supaya tidak mengunci pintu rumah. - Sinar Harian