KUALA LUMPUR:Pelaksanaan pelbagai langkah bagi membendung risiko jangkitan COVID-19 terbukti memberi impak terhadap operasi pengangkutan awam, bukan sahaja dari segi jumlah penumpang tetapi juga aspek pilihan orang ramai untuk bergerak secara selamat.

Kalangan pengendali perkhidmatan tersebut juga perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu seperti penyediaan cecair pembasmi kuman, memastikan pekerja dan penumpang memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal sebagaimana ditetapkan oleh prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

Tidak dinafikan, situasi mencabar ini menyukarkan lagi pihak pengendali yang sudah sedia diasak tekanan kewangan ketara selain bergelut untuk melonjakkan jumlah kapasiti ke paras sebelum pandemik itu berlaku.

Realitinya, usaha memulihkan keyakinan orang ramai untuk menggunakan semula pengangkutan awam di tengah-tengah pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang ketat, bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan dalam tempoh semalaman.

Ini berikutan kebimbangan terhadap COVID-19 telah mencetuskan rasa gusar orang ramai untuk berada di tempat sesak dan akibatnya ramai yang memilih untuk memandu sendiri daripada menggunakan pengangkutan awam.

Pada masa sama, bagi mengelak kesesakan untuk tujuan perjalanan atau mendapatkan barangan keperluan dan perkhidmatan, orang ramai turut memanfaatkan pilihan lain seperti perkhidmatan e-hailing.



KTMB Susun Semula Perkhidmatan



Pada 31 Mac lepas, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) telah bertindak mengurangkan kekerapan perjalanan tren penumpang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac, 2020 yang membabitkan perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antara Bandar, KTM Komuter dan Skypark Link dari Kuala Lumpur Sentral ke Subang Airport.

Langkah itu bertujuan mengoptimumkan operasi rel agar sejajar dengan matlamat PKP bagi mengurangkan perjalanan antara negeri serta mengehadkan pergerakan orang ramai, sekali gus meminimumkan jumlah penumpang kereta api susulan penularan COVID-19.

Bagaimanapun, kekerapan perkhidmatan terbabit akan disemak secara berkala dan bergantung kepada permintaan serta arahan kerajaan.



Prasarana Terus Optimis



Selain itu, Prasarana Malaysia Bhd yang juga berperanan sebagai pemacu transformasi sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam negara ini berkata aliran semasa penumpang menunjukkan peningkatan ketara daripada 16 peratus pada Mac akibat PKP kepada 60 peraus pada Ogos lepas.

Penyedia perkhidmatan rel dan rangkaian bas dalam bandar itu juga telah berjaya mencatat sebanyak 1.4 juta penumpang setakat ini berbanding 900,000 orang sehari pada 2018.

Jumlah penumpang harian bagi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang pula merosot kepada purata 80,000 bagi tempoh enam bulan pertama berbanding 200,000 orang pada tahun lepas.

Prasarana juga percaya ia tidak dapat mencapai sasaran pendapatan positif sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan bagi 2021 dan berkemungkinan menanggung kerugian antara RM200 juta dan RM500 juta pada tahun ini, walaupun ini tidak seburuk yang dicatatkan pada 2018.





Pas Perjalanan Tanpa Had My30



Bagi meningkatkan jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam, kerajaan telah memperluaskan pas perjalanan tanpa had My30 ke Pulau Pinang dan Kuantan.

Inisiatif yang diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk membolehkan pemegang pas menaiki perkhidmatan rel Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan KL Monorail serta perkhidmatan bas Rapid Transit, RapidKL dan bas perantara MRT.

Program My30 itu sepatutnya berakhir pada bulan ini, namun dilanjutkan menerusi peruntukan berjumlah RM300 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.





Kemajuan Projek Kereta Api Mega



Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya tertangguh 0.02 peratus daripada jadual pelaksanaannya akibat PKP dengan tahap kemajuan keseluruhan pada 18.10 peratus setakat bulan lepas berbanding 16.86 peratus pada Jun.

Projek itu yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2026 dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab) dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).

Industri ini turut menyaksikan pelancaran secara maya yang ditunggu-tunggu iaitu projek stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar pada 22 November yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands, Singapura.

Selepas tiga kali tertangguh, projek bernilai RM10 bilion yang diumumkan pada 2011 itu akhirnya kini disambung semula dan dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan pada suku pertama tahun depan.

Bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Malaysia dan Singapura akan mengumumkan perincian yang selanjutnya apabila tiba masanya kelak.

Perbincangan membabitkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya di Singapura Lee Hsien Loong, telah diadakan pada 2 Disember lepas berikutan tarikh akhir pelanjutan kedua dan yang terakhir bagi projek HSR itu pada 31 Disember ini.

Sebelum mesyuarat itu, laporan berita menyatakan Malaysia mungkin meneruskan projek itu tanpa penyertaan Singapura dengan membina landasan kereta api yang berakhir di Johor Bahru, dan bukan di republik itu.



Cabaran Projek KVDT2



Sementara itu, terdapat kemungkinan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2) tidak dapat diteruskan selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan surat penamatan kontrak projek kepada Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd (DM-LTAT) pada September.

Ini disusuli dengan pertikaian undang-undang apabila DM-LTAT memfailkan saman ke atas kerajaan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada 7 September untuk memohon deklarasi bahawa wujud satu kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan melalui Surat Setuju Terima bertarikh 19 Ogos 2019.

Projek itu menerima kritikan hebat selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), termasuk projek KVDT2 yang dianugerah kepada Dhaya Maju LTAT bernilai RM4.475 bilion.

Ketika prosiding masih dijalankan, Kementerian Pengangkutan telah menjelaskan bahawa projek KVDT2 akan diteruskan seperti yang dirancang dan akan membuka semula tender projek itu selepas mengambil kira hasil kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek di bawah Dhaya Maju-LTAT adalah terlalu mahal.



Permintaan E-hailing Berkembang



Sementara itu, sejak Mei lepas, permintaan untuk perkhidmatan e-hailing telah meningkat secara berperingkat dengan perkhidmatan penghantaran meraih keuntungan tertinggi, sementara pertanyaan berkaitan pekerjaan e-hailing turut bertambah berikutan pemberhentian pekerjaan yang berleluasa.

Peningkatan ini turut disumbangkan oleh SOP Kementerian Kesihatan yang tidak membenarkan teksi dan kenderaan e-hailing membawa lebih daripada dua penumpang setiap perjalanan.

Segmen e-hailing terutamanya perkhidmatan penghantaran terus kreatif dan fleksibel untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Ia akan terus menjadi sebahagian daripada industri pengangkutan Malaysia dan kekal berdaya saing dalam menyumbang kepada ekonomi domestik.

Secara ringkasnya, industri ini telah menyaksikan tahun yang hampir "yin yang", iaitu keseimbangan antara impak malap COVID-19 dan perkongsian yang memberi manfaat bersama untuk projek RTS, dengan harapan industri ini akan bertambah baik tahun depan.



Bersedia Untuk Realiti Baharu



Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Rangkaian Bekalan dan Teknologi Universiti Teknologi Mara, Dr Shahrin Nasir berkata, dengan peruntukan di bawah Belanjawan 2021, industri pengangkutan harus berusaha untuk terus meningkatkan perkhidmatannya dalam era selepas berakhirnya pandemik dengan perancangan yang lebih membina berserta pendekatan baharu.

Pergerakan orang ramai juga harus digabungkan dengan rangkaian dan perkhidmatan pengangkutan persendirian dan awam agar mereka mempunyai pilihan yang lebih baik dalam merancang perjalanan masing-masing, kata beliau kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Pengasas dan Rakan Pengurusan Kumpulan Thought Partners Group Consulting, Abi Sofian Abdul Hamid berkata, pengendali pengangkutan ini perlu mempunyai SOP yang jelas untuk menerapkan kepercayaan supaya penumpang kembali yakin untuk menggunakan pengangkutan awam.

Malah, katanya, langkah sedemikian akan membantu industri untuk pulih dengan lebih cepat.

-- BERNAMA