KUALA LUMPUR: Penganjur program Keretapi Sarong sedia bekerjasama termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi menjadikan program itu sebahagian aktiviti Bulan Kebangsaan tahun hadapan.

Pengarah program berkenaan Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata pihaknya mengalu-alukan cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berhubung perkara itu dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjadikan penglibatan acara itu lebih meluas dan nasional.

"Insya-Allah sekiranya niatnya untuk membawa perpaduan ke tahap lebih tinggi, kami terbuka untuk bekerjasama dan menerima cadangan daripada mana-mana pihak kerana acara ini acara rakyat dan (penganjur) akan kembali kepada orang ramai yang telah menjayakannya dari awal," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Semalam, Fahmi menyatakan hasrat untuk menjadikan program "flash mob" atau persembahan kilat berkumpulan Keretapi Sarong sebagai antara aktiviti sempena Bulan Kebangsaan tahun hadapan kerana sambutannya yang memberangsangkan daripada pelbagai kaum dan usia.

Menurutnya, langkah itu sebagai usaha untuk mempelbagaikan program di peringkat Bulan Kebangsaan supaya ia tidak terhad melibatkan kibar Jalur Gemilang sahaja.

Penganjuran Keretapi Sarong 2023 (KS 2023) semalam yang bertemakan "Etnik dan Perpaduan" bertujuan menyemai semangat cintakan negara walaupun dalam kepelbagaian, sempena sambutan Hari Malaysia.

Ia merupakan program anjuran LOCCO iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017.

Pada tahun ini, acara itu berlangsung serentak di lima bandar utama iaitu Johor Baharu (sepanjang Sungai Segget), Kota Bharu (LaRocka Park), Ipoh (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di Battersea Power Station (London, United Kingdom).

-- BERNAMA