MALAYSIA

Penganjuran RWMF akan kekal di Sarawak - Abdul Karim

Syafik Shukri Jalil 21/06/2025 | 10:20 MYT
Abdul Karim (dua, kiri) berkata, jenama RWMF perlu dikekalkan di Sarawak kerana ia bukan bersifat komersial semata-mata.
KUCHING: Jenama Rainforest World Music Festival (RWMF) yang mula diperkenalkan 28 tahun lalu akan dikekalkan penganjurannya di Sarawak.

Ringkasan AI
  • Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, menegaskan bahawa jenama Rainforest World Music Festival (RWMF) akan kekal dianjurkan di Sarawak kerana misi utamanya adalah mempromosikan budaya, bukan keuntungan komersial.
  • RWMF 2025 menyasarkan kehadiran antara 26,000 hingga 30,000 pengunjung, dengan rekod kehadiran tertinggi sebelum ini dicatatkan pada tahun 2024 sebanyak 26,062 orang.
  • Tiket RWMF boleh dibeli secara dalam talian dengan pelbagai pakej ditawarkan, dan penganjuran festival ini terus menjadi tarikan utama pelancongan serta pemuliharaan budaya di Sarawak.

Menurut Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, jenama ini perlu dikekalkan di Sarawak kerana ia bukan bersifat komersial semata-mata.
Malah acara yang dianjurkan saban tahun di Kampung Budaya Sarawak (SCV) ini lebih kepada misi mempromosikan budaya dan kepelbagaian.
“Kami bukanlah terlalu bersifat komersial. Kami sangat menyayangi negeri ini dan seboleh mungkin mahu RWMF kekal di Sarawak.
“Kalau dilihat dari sudut komersial, memandangkan jenama RWMF sudah dikenali di seluruh dunia, tentu sahaja kita boleh mempertimbangkan model francais dan membawanya ke seluruh dunia semata-mata untuk menjana lebih banyak keuntungan.
“Namun itu bukan misi utama kami, misi kami lebih kepada mempromosikan budaya, memberi peluang kepada para pemuzik etnik global untuk membuat persembahan,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditanya mengenai sebarang perancangan menganjurkan RWMF di luar negeri Sarawak dalam sidang media selepas mengadakan walk-about di Kampung Budaya Sarawak (SCV), di sini, pada Sabtu.
Selain itu, Abdul Karim berkata RWMF tahun ini menyasarkan kehadiran di antara 26,000 hingga 30,000 penonton bagi penganjurannya sehingga Ahad ini.
“Daripada segi ketibaan pelancong secara keseluruhan, kami masih menyasarkan lima juta pelawat (untuk Sarawak).
“Bagi RWMF, jika kita dapat mencapai angka seperti tahun lepas, iaitu sekitar 25,000 hingga 30,000 (dengan jumlah sebenar tahun lepas sebanyak 26,062), kami akan berasa amat gembira,” tambahnya lagi.
Menerusi edisi penganjurannya tahun lalu, RWMF berjaya merekodkan kehadiran terbesar sepanjang penganjurannya.
Ia selepas RWMF 2024 berjaya merekodkan kehadiran lebih 26,000 pengunjung, seterusnya mengatasi jumlah tertinggi pada 2019 dengan 23,000 orang.
Tiket RWMF 2025 boleh didapati secara dalam talian di laman rasmi RWMF dan di‭ ticket2u.com.my/rainforest ‬dengan pelbagai pakej termasuk pas harian dan tiket untuk tiga hari.
#Rainforest World Music Festival #RWMF #Abdul Karim Rahman Hamzah #Sarawak