Penganjuran solidariti bersama Palestin sesuai diadakan di Dataran Perayaan - Menteri Sarawak

Bernama
Oktober 24, 2023 22:40 MYT
Orang ramai menyatakan sokongan dengan menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak mencadangkan Dataran Perayaan, berdekatan Stadium Negeri di sini sebagai lokasi penganjuran perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata lokasi berkenaan dilihat lebih sesuai bagi menghimpunkan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.
"Masalah Palestin bukan masalah keagamaan, ia merupakan perjuangan untuk membebaskan tanah air, jadi kalau perhimpunan diadakan di masjid, kita tahu bahawa yang menyokong perjuangan Palestin bukan sahaja yang beragama Islam.
"Saya akan meluluskan sekiranya penganjur ingin mengadakan perhimpunan solidariti di Dataran Perayaan kerana perkara itu di bawah kementerian saya," katanya dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tular melalui laman Facebook berhubung acara Perhimpunan Solidariti Palestin Sarawak yang sepatutnya berlangsung di pekarangan Masjid India Kuching pada Ahad lepas, namun dibatalkan atas arahan pihak atasan dan faktor keselamatan.
Bagaimanapun, Abdul Karim berkata pihaknya tidak pasti sekiranya penganjur perhimpunan itu telah mendapatkan permit bagi mengadakan program berkenaan.
-- BERNAMA
#perjuangan Palestin #Facebook #perhimpunan solidariti #mendapatkan permit