Pengantin baharu antara empat yang maut dalam kemalangan di Besut

Astro Awani
Oktober 10, 2015 14:05 MYT
Muhamad Norizan Mohd Noor, 20, (kiri) antara empat yang terbunuh selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di KM93, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Besut pada pukul 2.20 petang tadi. - Foto Bernama
Seorang pengantin baharu antara empat yang maut dalam kemalangan di Kilometer 93, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Jerteh, Terengganu.
Kemalangan pada kira-kira jam 2.20 petang itu melibatkan sebuah kereta dan sebuah pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah berkata mangsa yang maut ialah pengantin, Muhamad Norizan Mohd Noor, 20; ibu mertuanya Rozila Jusoh, 42; dan dua adik iparnya Norma Mohd Zaki, 15; dan Muhammad Haikal Zaki, 2.
Pengantin perempuan, Norazila Zaki, 18, cedera parah di kaki serta tangan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Setiu sebelum kenderaan jenis Perodua Viva itu terbabas setelah melanggar sebuah kereta sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max gagal mengelak lalu merempuh secara berhadapan dengan Perodua Viva yang dipandu Muhamad Norizan," katanya.
Kemalangan pada kira-kira jam 2.20 petang itu melibatkan sebuah kereta dan sebuah pacuan empat roda. - Foto Astro AWANI
Kesemua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.
#Besut #jerteh #kemalangan #Khaled Che Lah #Muhamad Norizan Mohd Noor