Penganut Hindu boleh tunai nazar di Kuil Batu Caves sehingga 30 Jan

Bernama
Januari 21, 2022 14:19 MYT
Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor 'membuka pintu' bagi penganut Hindu yang tidak sempat menunaikan nazar untuk berbuat demikian meskipun sambutan Thaipusam selesai pada hari Selasa lepas. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor 'membuka pintu' bagi penganut Hindu yang tidak sempat menunaikan nazar untuk berbuat demikian meskipun sambutan Thaipusam selesai pada hari Selasa lepas.
Bercakap kepada Bernama, Pemegang Amanah kuil itu Datuk N.Sivakumar berkata kuil melakukan segala persiapaan bagi penganut Hindu untuk membayar nazar termasuk membawa 'paal koodam' (belangga susu) 'kavadi' dan mencukur rambut sehingga 30 Jan ini.
"Ramai yang tidak dapat menunaikan nazar pada hari Thaipusam, oleh itu upacara sembahyang termasuk Kavadi, Paal Kodam dan cukur rambut dibenarkan dari 5 pagi hingga 10 malam dan kuil mungkin akan beroperasi lebih lama jika terdapat ramai penganut," katanya.
Beliau berkata semua upacara sembahyang sempena Thaipusam itu akan mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan orang ramai tidak perlu mendaftar atas talian bagi sebarang upacara.
Penganut Hindu menyambut Thaipusam pada 18 Jan, dan perayaan yang disambut pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil itu adalah bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.
Sempena sambutan itu, penganut Hindu akan menunaikan nazar dengan menjunjung 'paal koodam' yang dianggap paling suci dan 'kavadi' yang dihiasi cantik dengan menaiki ratusan anak tangga Batu Caves menuju kuil di dalam gua itu.
Kerajaan menetapkan beberapa SOP sambutan Thaipusam pada tahun ini bagi membendung penularan COVID-19 antaranya kavadi tidak dibenarkan, bilangan penganut yang memasuki perkarangan kuil dihadkan kepada 9,000 orang, manakala bagi upacara sembahyang sebanyak 18 sesi dengan 500 orang dibenarkan untuk setiap sesi.
Sivakumar berkata kuil yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia dengan ketinggian 42.7 meter (m) itu juga akan menempatkan sekitar 70 hingga 80 gerai yang menjual pelbagai barangan termasuk pakaian, peralatan sembahyang, makanan dan minuman.
Beliau meminta orang ramai yang hadir menunaikan nazar agar mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19.
Tinjauan Bernama di kuil itu mendapati beberapa penganut Hindu menjunjung paal koodam dan mencukur rambut, manakala para pekerja dilihat sibuk mendirikan tapak gerai dengan mematuhi SOP, namun tidak kelihatan sebarang kavadi di persekitaran kuil berkenaan.
Sebelum ini, Jawatankuasa Sri Mariamman Devasthanam Kuala Lumpur yang mengurus kuil Batu Caves membenarkan upacara membawa kavadi sejak tahun baharu sebelum melarangnya selepas Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada 9 Jan mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pihak kuil atas kegagalan pengunjung mematuhi SOP di pekarangan kuil itu.
-- BERNAMA
#kuil Batu Caves #penganut hindu #Kuil Sri Subramaniar Swamy #tunai nazar