KUCHING: Setelah bertugas selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan perubatan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing bersara hari ini.

Beliau yang juga salah seorang individu penting di sebalik Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak lebih-lebih lagi ketika mengendalikan pandemik COVID-19 di negeri itu berharap usaha itu terus diterima baik dan mendapat kerjasama tinggi dari masyarakat.

“JKNS akan meneruskan usaha memerangi wabak COVID-19 dan terus bekerjasama rapat bersama JPBN Sarawak dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB). Kami berharap agar orang awam akan beri kerjasama penuh juga,” katanya semasa dihubungi AWANI Borneo.

Tambahnya, selepas ini beliau akan memberi fokus tempoh persaraanya untuk meluangkan masa bersama keluarga setelah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

“Selepas ini saya tidak terlibat lagi dalam JPBN Sarawak kerana sudah tidak menjadi Pengarah Kesihatan lagi.

“Buat masa ini saya akan cuba meluangkan masa bersama keluarga saya dan selepas itu baru memikirkan apa arah tuju selepas itu,” jelasnya.

Terdahulu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Chin di atas jasanya melalui satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Katanya, Dr Chin telah memikul tugas setanding bidang tugas 11 pengarah kesihatan negeri di Semenanjung Malaysia dan beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam menggalas tanggungjawab itu.

“Terima kasih tak terhingga kepada Dr Chin untuk penglibatan dalam perkhidmatan perubatan lebih tiga dekad kepada warga Sarawak dan sumbangan dalam pelbagai pembangunan perubatan di Sarawak,” katanya lagi.