KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pembekal tenaga kerja didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM31,200.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap S.Ratah, 54, selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan dan memerintahkan wanita itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Menurut pertuduhan, Ratah sebagai pemilik syarikat Star Skill Sdn Bhd telah menggunakan dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan syarikat tersebut bertarikh 3 dan 6 Mei 2021 berjumlah RM31,200 melibatkan 12 orang bukan pekerja syarikat itu.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, di sini, sekitar Mei 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada 3 dan 6 Mei 2021, Ratah telah mengemukakan borang pengesahan bagi pekerja-pekerja baharu untuk mendapatkan bantuan dari Perkeso di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0, sedangkan 12 individu dalam senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja Star Skill dan tidak menerima gaji seperti dalam tuntutan insentif tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon hukuman denda RM50,000 sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

"Jumlah denda RM50,000 adalah wajar diberikan kepada tertuduh kerana banyak kesalahan sedemikian berlaku dan telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain," katanya.

Peguam Shamani Nadeson mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya mempunyai masalah kesihatan.

-- BERNAMA