NATIONAL
Pengarah syarikat didenda RM2,000 jalankan perniagaan tanpa lesen

Hukuman dijatuhkan ke atas Harjeet Singh, 64, dan dia diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat keselamatan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa lesen, tahun lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Harjeet Singh, 64, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Harjeet dituduh menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa mempunyai lesen seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Akta Agensi Persendirian 1971.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Off Jalan Gombak di sini pada 10.30 malam, 18 Dis 2024 dan dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Pegawai Pendakwa dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) Muhamad Aliff Zahril Mohd Azhar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tidak menjalankan perniagaan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Pada prosiding hari ini, Harjeet diwakili peguam Nor Fazlinda Alimad dan Nur Nadiah Tamby Subyr.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian sepasukan anggota penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Putrajaya membuat pemeriksaan dan mendapati dua pengawal keselamatan warga India dan Pakistan bertugas di lokasi kejadian.
Siasatan mendapati dua pengawal keselamatan itu digajikan oleh syarikat milik tertuduh, yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami