Pengasas Kuih Keria Antarabangsa Rahmah Dollah meninggal dunia di Hospital Melaka hari ini, akibat serangan jantung.
Allahyarhamah yang berusia 73 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12.57 tengah malam tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 16 Jun lalu.
Anak ketiganya, Junaidah Jalil, 43 tahun berkata, Allahyarhamah sememangnya menghidap sakit jantung sejak enam tahun lalu dan mengadu sakit dada pada hari raya kedua sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.
Katanya, ibunya kemudian ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) selama lima hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya dilaporkan stabil.
Bagaimanapun, Allahyarhamah tiba-tiba diserang serangan jantung pada malam tadi sebelum disahkan meninggal dunia.
“Kali terakhir arwah mengadu sakit dada pada malam raya kedua. Saya cuba urut dadanya sebelum kami bawa ke Hospital Melaka. Semalam kami jumpa arwah masih boleh bercakap. Tiba waktu malam arwah kena serangan dan kritikal,” katanya.
Junaidah berkata demikian ketika ditemui pada pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Islam Limbongan Permai, Melaka pada Isnin.
Perniagaan Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah yang diperkenalkan sejak 1979 itu kini diuruskan oleh Junaidah.
Keluarga itu turut memiliki satu lagi perniagaan, Kuih Keria Haji Jalil (suami Rahmah) yang diuruskan oleh adik-beradik Junaidah yang terletak berhampiran dengan gerai kuih keria antarabangsa di Limbongan itu.
Perniagaan Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah terkenal dan menjadi antara lokasi yang wajib dikunjungi pengunjung yang datang ke Melaka lebih-lebih lagi untuk menikmati kuih tradisional tersebut.