NATIONAL

Pengawal keselamatan berhenti di lampu isyarat maut dirempuh lori

Sinar Harian 15/05/2025 | 04:30 MYT
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian setelah motosikalnya dirempuh lori dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Banting-KLIA di Kuala Langat pada Rabu.
KUALA LANGAT: Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja berakhir dengan tragedi apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 13, Jalan Banting-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Rabu.

Ringkasan AI
  • Seorang pengawal keselamatan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah lori di Kilometer 13, Jalan Banting-KLIA.
  • Ketua Polis Daerah Kuala Langat menyatakan bahawa siasatan masih dijalankan untuk menentukan sama ada berlaku masalah teknikal pada lori terbabit semasa kejadian. Pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis.
  • Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru.
“Ketika kejadian, mangsa dari arah Banting menghala ke KLIA dan berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah. Mangsa kemudian dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori jenis Nissan berwarna kelabu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak dan terperosok ke bawah lori berkenaan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu lori terbabit kemudian hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk membuat laporan polis, dan rakaman percakapan telah diambil,” katanya.
Menurut beliau, siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku masalah teknikal pada lori terbabit semasa kejadian.
“Segala kemungkinan ketika kejadian masih dalam siasatan, dan lori tersebut telah dihantar untuk ujian teknikal bagi mendapatkan pandangan pakar.
“Siasatan kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mohd Akmalrizal turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Sohairi Manaf dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Langat di talian 019-9993077 atau 03-3187 2222,” katanya. - Sinar Harian
#kemalangan maut #Lori #lampu isyarat #Banting