Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Pengawal keselamatan diserang penyewa meninggal dunia akibat serangan jantung

Sinar Harian 16/10/2025 | 10:38 MYT
Video tular memaparkan pengawal keselamatan diserang seorang lelaki pada Isnin. -Foto Sinar Harian/Video tular
KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang diserang seorang lelaki di sebuah kondominum di Jalan Ipoh, Sentul di sini meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa jam selepas kejadian itu pada Isnin lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang pengawal keselamatan di kondominium Jalan Ipoh meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa jam selepas diserang oleh seorang penyewa lelaki yang bertindak agresif kerana enggan dibantu ke blok lain.
  • Mangsa sempat mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan membuat laporan polis sebelum tidak sedarkan diri di rumahnya pada malam hari kejadian.
  • Suspek berusia 32 tahun telah ditahan dan direman empat hari, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang sedang bertugas di pos kawalan telah didatangi seorang penyewa lelaki yang meminta bantuannya untuk ke blok lain.

"Bagaimanapun, mangsa enggan berbuat demikian kerana tidak boleh meninggalkan pos pengawal.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan menampar muka kiri, menumbuk dahi serta memijak badan dan kaki mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Sukarno berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas membuat laporan polis.

"Hasil pemeriksaan awal, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala namun tiada kesan luka luaran sebelum dibenarkan pulang selepas menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian, polis berjaya menahan suspek berusia 32 tahun kira-kira jam 4.30 petang hari sama.

"Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Menurutnya, pada jam 9.30 malam hari kejadian, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya di Jalan Ipoh.

"Isterinya telah menghubungi ambulans dan pemeriksaan oleh pegawai kesihatan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat yang dijalankan pada Selasa.

"Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat serangan jantung," katanya. -Sinar Harian






#pengawal keselamatan #kondominium Jalan Ipoh #meninggal dunia #serangan jantung #diserang penyewa