[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
MALAYSIA

Pengawal keselamatan, kekasih didakwa amang seksual murid dalam tandas sekolah

Sinar Harian 14/10/2025 | 06:30 MYT
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban. - Gambar/ Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang pengawal keselamatan wanita bersama teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Rembau minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Rembau atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid perempuan Tahun Tiga berusia sembilan tahun di tandas sekolah.
  • Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, dan kes akan disebut semula pada 17 November untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.


Tertuduh, Muahmad Mohd Mohtar, 25, dan Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Kanageswari sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang merupakan murid Tahun Tiga di dalam tandas perempuan sekolah berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 7 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Nor Aleeya diwakili peguam, Norfazrin Jamal, manakala Muahmad tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Norfazrin memohon agar anak guamnya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 memandangkan pendapatan bulanannya hanya RM1,600 selain menanggung ibu bapa serta empat adik yang masih bersekolah.

“Tertuduh juga menanggung ibu bapa yang menghidap darah tinggi serta adik-adik, termasuk seorang daripadanya yang sedang menuntut di sebuah kolej komuniti.

“Anak guam telah melantik peguam dan berhasrat membersihkan nama serta memberi jaminan untuk hadir ke mahkamah tanpa gagal,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sehingga kes selesai, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. - Sinar Harian




#keselamatan di sekolah #pengawal keselamatan #amang seksual #sekolah di rembau