Pengawal keselamatan maut, kereta terbabas rempuh lori

Ifti Femida
April 14, 2022 08:40 MYT
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Cheroh pada awal pagi tadi. - Foto JBPM
RAUB: Seorang pengawal keselamatan maut apabila kereta yang dipandu melanggar lori yang berhenti di tepi jalan di Batu 12 Jalan Cheroh di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu telah meragut nyawa Muhamad Akmal Fikri Mohd Nazari, 22, dari Kampung Batu Talam di sini.
"Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu kereta datang dari arah Raub menghala ke Cheroh.
"Sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori yang diparkir di bahu kiri jalan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu kereta kerana gagal mengawal kenderaan dan memandu secara melulu. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat," katanya.
#kemalangan maut #Raub #Jalan Cheroh #pengawal keselamatan maut #terbabas #langgar lori