MALAYSIA

Pengawal keselamatan maut, motosikal langgar lori tangki di Port Dickson

Bernama 01/09/2025 | 07:45 MYT
Seorang pengawal keselamatan berusia 21 tahun maut selepas motosikalnya melanggar lori tangki di Jalan Pantai, Port Dickson. -Foto IPD Port Dickson
PORT DICKSON: Seorang pengawal keselamatan maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori tangki di Kilometer 2 Jalan Pantai, dekat sini awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Seorang pengawal keselamatan berusia 21 tahun maut selepas motosikalnya melanggar lori tangki di Jalan Pantai, Port Dickson.
  • Kemalangan berlaku ketika lori keluar dari stesen minyak dan motosikal dari arah bertentangan gagal mengelak, menyebabkan kecederaan parah di kepala.
  • Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata kemalangan berlaku pada 8.20 pagi itu, menyebabkan mangsa berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Siasatan awal mendapati lori tangki jenis Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 60 tahun itu, keluar dari sebuah stesen minyak untuk membelok ke kanan masuk menuju ke jalan utama.

"Pada masa sama, motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori tangki berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian air kencing didapati negatif dadah.

Maslan berkata lori dan motosikal tersebut dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut, manakala rakaman kamera litar tertutup berhampiran juga diperoleh bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA





#Port Dickson #pengawal keselamatan #lori tangki #penunggang motosikal maut