KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mewarta pengeculian cecair vape bernikotin dari Akta Racun 1952 boleh menyebabkan tiada tindakan boleh diambil terhadap penjualan dan pemasaran produk itu di negara ini.

Demikian jelas Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitternya berhubung keputusan kerajaan pada Sabtu. 

Ujarnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap dapat membawa Rang Undang-Undang kawalan merokok dengan segera bagi menutup kelompongan yang ada demi kesihatan awam.

"Apabila terbalik, pengecualian diberi sebelum akta baharu, tiada tindakan boleh diambil terhadap penjualan dan pemasaran vape. Sekarang free for all.

"Saya harap @KKMPutrajaya membawa RUU Akta Kawalan Merokok dengan segera untuk menutup lacuna ini demi kesihatan awam," katanya.

Mengulas lanjut ujar Khairy, Akta Kawalan Merokok telah dibawanya ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kesihatan, namun tidak sempat diluluskan.

"Dengan Akta tersebut produk nikotin dalam vape boleh dikecualikan sebab ada akta mengawal," katanya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang meluluskan percukaian ke atas produk cecair vape mengandungi nikotin ketika pentadbiran terdahulu, tegas Khairy, meskipun percukaian produk cecair vape diumumkan ketika itu, namun beliau tidak menandatangani warta untuk mengecualikan produk tersebut dari jadual Akta Racun.

"Tidak betul (dakwaan berkenaan). Walaupun percukaian produk cecair vape diumumkan sebelum ini, saya tidak menandatangani warta untuk mengecualikan produk tersebut daripada jadual Akta Racun.

"Pendirian saya dan @KKMPutrajaya sebelum ini, mesti ada akta baharu untuk sambut tindakan tersebut. Jika tidak ada akta baharu berlaku lacuna (kelompongan) dalam undang-undang sebab vape tidak dapat dikawal langsung," ujarnya lagi. 

Terdahulu, kerajaan mewartakan duti eksais bagi cecair vape dengan kandungan nikotin pada kadar 0.40 sen setiap mililiter berkuat kuasa pada Sabtu.

Notis pewartaan Kerajaan Persekutuan itu dikeluarkan semalam oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan turut mewartakan tampalan, cecair, dan gel nikotin untuk bantu menghentikan tabiat merokok, serta cecair vape dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Mengikut notis yang dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada Jumaat, ia sebahagian daripada Perintah Racun Pindaan Senarai Racun 2023.