MALAYSIA
Pengecualian duti setem kontrak penggajian sebelum 2025
Mulai 1 Januari 2026, kontrak penggajian tertakluk sepenuhnya kepada duti setem dan penalti akan dikenakan sekiranya berlaku kelewatan penyeteman. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pengecualian duti setem bagi kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025, selaras dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) bermula 2026.
Menurut kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) pada Jumaat, pengecualian ini bertujuan mengurangkan beban majikan berikutan penemuan baharu hasil audit bahawa banyak kontrak penggajian tidak disetemkan seperti ditetapkan di bawah Akta Setem 1949.
Di bawah ketetapan baharu, kontrak yang ditandatangani sebelum 2025 tidak perlu dikenakan duti setem RM10.
Selain itu, penalti lewat penyeteman turut dikecualikan berdasarkan kuasa Menteri Kewangan dan Pemungut Duti Setem.
Bagi kontrak yang dimuktamadkan sepanjang tahun 2025, ia masih tertakluk kepada duti setem, namun diberi peremitan penalti jika disetemkan sebelum 31 Disember 2025, menurut subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949.
Mulai 1 Januari 2026, kontrak penggajian tertakluk sepenuhnya kepada duti setem dan penalti akan dikenakan sekiranya berlaku kelewatan penyeteman.
Semua majikan dinasihat menyemak kontrak agar patuh kepada akta sedia ada.
Maklumat lanjut dan pertanyaan boleh dibuat melalui Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000, HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas dalam portal rasmi www.hasil.gov.my.