PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula esok hingga 31 Dis 2022.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan keputusan itu adalah atas keprihatinan kerajaan terhadap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang masih terkesan susulan impak pandemik COVID-19.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada bantuan sokongan daripada kerajaan bagi membantu kelangsungan perniagaan dan membantu syarikat untuk bangkit semula meneruskan perniagaan susulan penularan wabak COVID-19," menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini.

Menurut MOTAC, pengecualian fi pembaharuan lesen sehingga 31 Dis 2021 melibatkan 3,419 buah syarikat pengusaha pelancongan yang berjumlah RM5.676 juta.

"Dengan pelaksanaan pelanjutan inisiatif ini, MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang layak mengambil peluang ini untuk membuat permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan pengecualian ini dapat dinikmati," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, MOTAC telah memberi pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula 1 Jan hingga 30 Jun 2021, seterusnya dari 1 Julai hingga 31 Dis 2021 dan kemudian dilanjutkan dari 1 Jan lepas hingga 30 Jun ini.

MOTAC adalah agensi kerajaan yang menguatkuasakan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Peraturan-Peraturan mempunyai bidang kuasa menguatkuasakan akta itu bagi melesenkan pengusaha pelancongan di bawah Seksyen 5 dan Pemandu Pelancong di bawah Seksyen 21.

-- BERNAMA