Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dilihat sebagai penanda aras kematangan UMNO dalam membuktikan ia sebuah parti yang berlandaskan realiti serta kelangsungan politik negara.

Penambahbaikan yang diumumkan kepada akta ini juga menjadi tiupan semangat ke arah pengukuhan platform perpaduan antara kaum di negara ini.

Naib-naib Presiden serta ketua sayap pergerakan Wanita, Pemuda Dan Puteri turut memberi harapan serta sokongan agar akta itu dapat terus menerapkan kemakmuran dan memastikan perjalanan negara ke arah sebuah negara maju tidak terjejas.

Berikut ialah cetusan rasa mereka:


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

"Negara kita sudah matang, kita memang memerlukan landasan seumpama ini untuk mengatasi anasir perbuatan jahat kerana undang-undang ini penting untuk mengekang masalah berkenaan hasutan."


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

"Kita tambah baik Akta Hasutan, ia keputusan yang kita lihat mencukupkan undang-undang. Kita akan berbincang dengan Peguam Negara dan mengambil tindakan susulan. Kita jangan mempolemikkan politik dan pastikan tiang seri penjenamaan bangsa seluruh masyarakat, isunya kini kestabilan."


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

"Acuan politik yang menyesuaikan kepentingan keselamatan masyarakat majmuk di negara kita. Kita (orang Islam) tidak boleh menghina orang bukan Islam; sama juga orang bukan Islam tidak boleh menghina orang Islam. Semua sudah jelas tertulis di dalam al-Quran."


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin

"Ini adalah satu tindakan yang bijak dan berani oleh Presiden. Bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada orang Melayu, tetapi untuk Akta Hasutan ini menjadi perisai kepada seluruh rakyat Malaysia. Bukan semata-mata hendak mempertahankan mana-mana kaum atau mana-mana agama."


Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

"Alhamdulillah, Presiden telah pun mendengar suara rakyat dan ini satu keputusan yang bijak. Saya percaya dengan keputusan ini, ia akan merapat semula perbezaan pendapat, dan marilah kita sama-sama berkerjasama untuk tentukan bahawa negara ini ada tempat untuk semua orang. Kalau agenda kita hanya untuk Malaysia, saya percaya bahawa rakyat akan menerima keputusan ini."


Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati

"Ini tindakan yang amat baik. Ia penting bukan untuk bangsa Melayu dan agama Islam sahaja, ini untuk keseluruhan. Dan inilah benar-benar dinamakan sebagai 1Malaysia, satu negara."