KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah tempatan yang lebih rendah berbanding permintaan daripada industri pembuatan barangan menyebabkan negara masih perlu mengimport getah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi 2022, pengeluaran lateks negara hanya dapat menampung sekitar empat peratus jumlah penggunaan domestik.

Begitupun, eksport bagi produk hiliran berasaskan lateks seperti sarung tangan getah adalah tinggi dengan jumlah sebanyak RM21.302 bilion bagi tahun 2022, iaitu 78 peratus daripada jumlah eksport produk getah.

“Justifikasi mengapa Malaysia perlu mengekalkan import getah asli daripada beberapa negara pengeluar seperti Thailand, Vietnam dan Afrika adalah kerana keperluan memenuhi permintaan domestik, terutama bagi sektor pembuatan produk getah berasaskan lateks.

“Pada tahun 2022, pengeluaran lateks negara hanya berjumlah 14,593 tan, sedangkan sektor pembuatan produk getah memerlukan 365,000 tan.

“Kedua, untuk memenuhi permintaan pasaran eksport terutamanya getah kering. Pada tahun 2022, negara mengeluarkan getah skrap (cuplump) sebanyak 362,000 tan, namun permintaan eksport getah kering berjumlah hampir 1 juta tan.

“Ketiga, sektor pemprosesan getah asli negara dengan anggaran kapasiti pengeluaran sebanyak 1.5 juta tan memerlukan bahan mentah bagi meneruskan operasi dan kekal berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Dewan Rakyat pada Khamis, menjawab persoalan berkaitan keputusan kerajaan masih import getah dari Thailand, Vietnam dan Afrika yang dibangkitkan Salamiah Mohd Nor (PN - Temerloh).