DREBAR
Pengeluaran Proton Persona ditingkatkan untuk penuhi permintaan

Proton telah mengumumkan bahawa pengeluaran bagi model Persona akan ditingkatkan berikutan tempahan daripada pelanggan yang semakin meningkat.
Langkah ini juga untuk menampung kembali kekurangan yang mungkin berlaku akibat penutupan sementara pemasangan model Persona untuk aktiviti naik taraf di kilang Tanjung Malim. Untuk itu, jadual pengeluaran di kilang Proton tersebut juga sedang menjalani proses pelarasan.
Ketua pegawai eksekutif Proton, Dato’ Abdul Harith Abdullah berkata, “Berdasarkan maklum balas pasaran, kami dapati ada permintaan yang baik untuk segmen sedan. Oleh itu kami sedang menambahkan lagi pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang bertambah.”
Selain itu, beliau turut menambah bahawa susutan nilai Ringgit turut menyumbang kepada peningkatan jualan bagi kereta yang dibuat di dalam negara.
Buat masa ini, pembeli Proton Persona perlu menunggu selama satu bulan sebelum kereta mereka dapat dihantar. Terdapat dua varian buat masa ini – Persona Super Value (SV) dan Eksekutif, bermula dari harga RM44,658.
Sejak mula dijual pada 15 Ogos 2007 sehingga 31 Ogos 2015, Proton sudah menjual lebih dari 265,882 unit Persona.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami