[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Pengeluaran sekali gus boleh jejas keselamatan persaraan jangka panjang

Bernama 18/06/2025 | 14:00 MYT
Pengeluaran secara sekali gus wang persaraan boleh menjejaskan perancangan kewangan jangka panjang dan berisiko menyebabkan pesara kehabisan simpanan, kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengeluaran secara sekali gus wang persaraan boleh menjejaskan perancangan kewangan jangka panjang dan berisiko menyebabkan pesara kehabisan simpanan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Ahmad Zulqarnain Onn.

Ringkasan AI
  • Pengeluaran wang persaraan secara sekaligus boleh menjejaskan kewangan jangka panjang dan menyebabkan pesara kehabisan simpanan.
  • KWSP mencadangkan pengeluaran bulanan berstruktur dan memperkukuh literasi persaraan, terutama untuk golongan muda dan pekerja tidak formal.
  • Usia pengeluaran penuh perlu diselaraskan dengan usia persaraan minimum bagi memastikan peralihan yang selamat ke fasa persaraan.

Beliau berkata pada masa ini hanya sebahagian kecil daripada ahli KWSP mencapai paras simpanan asas, manakala lebih 58 peratus rakyat Malaysia yang berada dalam usia bekerja tidak menyertai mana-mana skim persaraan formal.
Ahmad Zulqarnain berkata sekiranya Malaysia benar-benar berhasrat untuk bersedia menghadapi jangka hayat hingga 100 tahun, negara perlu menilai semula cara bekerja, simpanan, penglibatan dan menyediakan penjagaan di semua sektor.
"Di KWSP kami sedang meneliti strategi pengumpulan yang lebih baik termasuk pilihan pengeluaran bulanan berstruktur untuk membantu ahli menguruskan risiko hayat yang panjang dan memanjangkan ketahanan simpanan persaraan mereka.
"Kami sedang mempergiat usaha untuk mempromosikan literasi persaraan, khususnya dalam kalangan golongan muda, pekerja tidak formal dan kumpulan rentan, bagi membina budaya menyimpan jangka panjang dan membuat keputusan yang bijak," katanya berucap pada majlis penutup Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 bertemakan "Hidup Hingga 100 tahun: Adakah Kita Bersedia" di sini hari ini.
Ahmad Zulqarnain berkata memandangkan rakyat Malaysia hidup dan bekerja lebih lama, usia pengeluaran penuh juga perlu ditetapkan pada suatu tahap selari usia persaraan minimum bagi membolehkan peralihan yang lebih tersusun dan selamat ke fasa kehidupan persaraan.
Beliau berkata KWSP kekal komited untuk mengubah cabaran berkenaan menjadi peluang dengan menyediakan penyelesaian persaraan yang terangkum, mampan dan bersedia untuk masa depan.
"Tanggungjawab kita bersama adalah membina sistem yang membolehkan rakyat Malaysia menua dengan bermaruah," katanya.
-- BERNAMA
#KWSP #pengeluaran sekali gus #wang persaraan #kewangan